MENGENALI SM TEAM (UNIT PENGURUSAN PENTAS) - Back Stage Call

MENGENALI SM TEAM (UNIT PENGURUSAN PENTAS)



Salam..

Siapa SM tu?

Mengikut kenyataan dari The Association of Stage Management, United Kingdom, Pengurusan Pentas adalah “people management job”. Bagi yang ingin mengenali SM Team (Unit Pengurusan Pentas), kerjaya ini memerlukan tahap kesabaran yang tinggi dan boleh berurusan dengan mana-mana pihak sama ada unit artistik, teknikal dan lebih penting adalah memahami tugasan yang dilakukan oleh lain-lain tenaga produksi yang terlibat. Pengurusan Pentas terdiri dari tiga komposisi jawatan utama iaitu SM (Stage Manager), DSM (Deputy Stage Manager) dan ASM (Assistant Stage Manager).




"Staging a play or musical can be exciting, demanding and rewarding. It can also be exhausting, frustrating and chaotic. But a good stage management team can turn a potentially embarrassing production into a smooth-running, trouble-free success".(Pauline Menear and Terry Hawkins)

Di dalam tulisannya juga, mereka sependapat bahawa:

“the stage management team is the channel of communication between all the people and departments contributing to a production..”

Untuk menjadi seorang SM yang baik kena korban diri sendiri...kata orang, memang betul kata orang tu, kerana SM adalah segala-galanya, baik dan buruk perjalanan belakang tabir adalah terletak kepada kebijaksanaan seorang SM. TETAPI untuk menjadikan SM yang terbaik, perlu kerjasama dari tenaga produksi yang baik juga. SM tidak akan berfungsi dengan baik, jika hanya asyik menyelesaikan masalah yang bukan tugas SM. SM sepatutnya menguruskan perjalanan produksi agar ia berjalan seperti apa yang dirancang oleh produksi. Tugas SM adalah mengurus yang bersangkutan dengan kerja-kerja produksi dan tidak termasuk mengurus hal peribadi tenaga produksi yang lain. Sebagai contoh, bukan tugas SM untuk menjadi PA (personal assistant) kepada semua orang seperti membuat panggilan setiap kali ingin mengadakan latihan, sedangkan jadual latihan telahpun dikeluarkan. 

SM mempunyai tanggungjawab yang lebih besar dari itu, seperti menjaga hal ehwal semua tenaga produksi termasuk artis, mengawal perjalanan latihan, memastikan semua ruang bersih dan selamat, memastikan semua prop tersedia untuk latihan, menguruskan keperluan peralatan teknikal, mengadakan perbincangan teknikal bagi proses bump in, memastikan keluar masuk set dan prop, memastikan sistem "cue" yang betul, memastikan semua berjalan dengan lancar, lebih-lebih lagi apabila sesi bump-in, latihan teknikal, latihan berkostum serta persembahan, dan yang lebih penting lagi adalah cuba memberikan yang terbaik kepada pengarah persembahan. 

Berdasarkan senarai tugas-tugas SM diatas, ia jelas menunjukkan bahawa tugasan SM adalah amat mencabar..kan? Selain dari tugasan-tugasan tersebut, SM juga perlu menguasai ilmu teknikal seperti rekaan cahaya, rekaan set dan prop, rekaan audio, rekaan multimedia, rekaan kostum dan solekan dan hal-hal lain termasuk ilmu keselamatan, sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini di belakang pentas. 

Dalam hal ini, tidaklah pula SM ingin disanjung atau dipuji yang menggunung, cukup sekadar menginginkan kerjasama yang sewajar dari rakan tenaga produksi atau artis atau pengarah persembahan, mahupun pihak atasan yang sentiasa bersama-sama menjayakan tugasan yang sama dipikul. Permintaan ini bukanlah permintaan yang janggal kerana orang lain telah pun mengamalkan budaya kerja yang sihat dan profesional sejak bertahun-tahun dahulu lagi. Jadi rasanya, kita patut bermula dari sekarang, walaupun ia sepatutnya bermula sejak kita mula-mula mengenal apa itu persembahan pentas. 

Kepada SM-SM di luar sana, anda adalah orang yang terpilih dan hebat kerana anda telah berjaya mengurus karenah manusia dan telah berjaya membawa perjalanan sesebuah produksi hingga ke penghujungnya. Sebab itulah kelayakan seorang SM adalah "calm and patient" serta "intelligent". Walaupun tugasan SM tidak glamor seperti tugasan seorang artis atau pengarah persembahan, tetapi percayalah anda tidak keseorangan kerana di luar sana anda akan dihargai atau mungkin suatu hari nanti, anda, akhirnya akan dihargai :-)

Selepas ini kita akan mengenali DSM pulak ya...


Post a Comment

0 Comments