MENCARI NILAI ESTETIKA DALAM KARYA SENI!! - Back Stage Call

MENCARI NILAI ESTETIKA DALAM KARYA SENI!!

Salamm...

Pada tulisan kali ini, saya dengan sengaja beralih kepada perbincangan yang lain daripada isu-isu backstage...ia berkisar kepada pemikiran dan penghayatan estetika dalam seni. Mengikut ahli sejarah, di Malaysia kehidupan manusia sejak 7000 tahun dahulu telah mula meneroka dan mencipta pelbagai pembaharuan dalam kehidupan, apabila mereka telah  bertukar dari zaman batu kepada zaman tembikar. Mereka juga mula menternak binatang, bercucuk tanam dan menjalankan perniagaan berkonsepkan sistem tukar barang 'barter trade'. 



Bermula dari pengalaman tersebut, malah lebih awal lagi tingkahlaku  serta amalan kehidupan manusia telah dipengaruhi oleh persekitaran alam semulajadi. Manusia melihat dan mendengar segala apa yang terdapat pada flora dan fauna, dan hasil dari pengamatan tersebut telah membentuk sebuah corak serta pegangan yang menentukan sebuah budaya dalam kehidupan. Hasil dari pengamatan mereka itu, maka lahirlah sebuah kepercayaan animisme, iaitu kepercayaan kepada alam tumbuh-tumbuhan dan binatang. Budaya bukan sahaja dilihat dalam pengertian yang berkisar kepada sesama manusia tetapi turut diungkapkan kehadiran manusia dalam persekitarannya, iaitu melihat ‘human-in-environment’. Manusia dianggap sama seperti binatang kerana terpaksa mengekalkan hubungan adaptif (penyesuaian) dengan ekosistem (system ekologi) mereka demi untuk menjamin kelangsungan hidupMenurut Rappaport (1968), Budaya adalah tidak lebih hanya satu cara yang merujuk kepada teknik-teknik yang nyata dan dengannya sekelompok penduduk mengekalkan diri mereka dalam persekitarannya (Hanapi Dollah 1997).

Melalui kepercayaan animisme juga telah lahir ukiran-ukiran pada dinding-dinding gua batu yang akhirnya membentuk sebuah ukiran seni dan pada masa yang sama menjadi bahan pemujaan. 

Bertolak dari situlah, hari ini ia menjadi inspirasi kepada pengkarya seni visual seperti seni ukiran dan batik menggunakan corak alam tumbuh-tumbuhan sebagai motif dalam karya mereka. Malah, sebelum kedatangan Islam seni ukir dan seni catan juga di pengaruhi oleh corak-corak binatang. Walaubagaimanapun, setelah kedatangan Islam,  motif-motif binatang telah diharamkan dalam seni tersebut. 

Pengamatan seni yang telah berlaku sejak dahulu itu, telah mendekatkan diri para pengkarya dengan sebuah pandangan yang ikhlas dan abadi, yang lahir dari penghayatan terhadap ciptaan yang Maha Esa. Kehalusan idea dan kerja tangan oleh pengkarya itu telah melahirkan nilai estetika yang luhur dan memberi makna serta pengalaman disebalik apa yang tersurat dan tersirat. 

Bagi mencari nilai estetika dalam karya seni, samada seni ukiran atau seni catan, ia memerlukan penghayatan samada melalui penglihatan atau pendengaran dalam mencari makna kebenaran dalam karya tersebut. Mengikut pandangan Read (1943:23), melihat keindahan pada satu persepsi yang artistik. Aktiviti artistik boleh dibahagi kepada tiga tahap. Pada tahap pertama ialah persepsi kepada kualiti bahan. Tahap kedua pula ialah cara pengolahan bahan bagi mendapatkan rupa, bentuk serta corak yang menarik dan tahap ketiga ialah peranan keseluruhan rekabentuk dalam menimbulkan satu mood dan kesan (Ismail Ibrahim 2007, 4).

Apabila meneliti sesebuah karya seni persembahan seperti teater, muzik dan tarian, penilaian estetika akan berlaku melalui dua pengalaman iaitu logik dan estetik. Pengalaman estetik dan logik akan menggerakkan pancaindera individu. Pencarian nilai estetika adalah berkait rapat dengan pencarian falsafah dalam seni. Sesiapa yang mempelajari falsafah seni akan mempunyai perasaan yang lebih mendalam dan pengalaman yang berbeza dan kesannya mendapat kehidupan yang lebih bermutu (Ahmad Sunawari Long 2008, 18).

Oleh itu, sebagai pemerhati atau pencinta seni, seharusnya kita menilai sesuatu karya dengan cara yang luhur terhadap sesebuah karya seni itu. Walaubagaimanapun, pengalaman kehidupan seseorang juga akan membantu serta membentuk penafsiran yang berbeza-beza terhadap sesuatu karya seni. Perbezaan tafsiran dalam sesuatu karya seni akan melahirkan medan emosi yang tersendiri kepada setiap individu. 

Proses pencarian estetika dalam sesebuah karya seni akan terhasil, apabila kita mencarinya dengan pencarian yang ikhlas dan telus. Proses pencarian estetika akan terganggu atau mungkin tidak akan berlaku, jika sekiranya pencarian tersebut digabungkan dengan kehendak naluri yang pada awal-awal lagi telah menolak karya tersebut. 

Ada juga sesetengah pihak mendakwa, bahawa sesetengah karya seni tidak mempunyai estetika. Sebenarnya, ia tidak berlaku. Setiap karya seni mempunyai nilai estetikanya yang tersendiri. Pengkarya melahirkan sesuatu karya melalui proses pemikiran atau tafsiran yang tulus, yang lahir dari pengamatan yang ikhlas berdasarkan sifat-sifat semulajadi sesuatu perkara. 

Penentuan nilai estetika akan berlaku apabila pertembungan antara ketulusan pengkarya dan pencari estetika bersatu di atas satu makna kebenaran yang lahir dari sesebuah karya tersebut. 

Oleh itu, mencari nilai estetika dalam karya seni memerlukan tumpuan yang mendalam dan ia juga memerlukan sebuah pemikiran yang waras dan cerdik, kerana dalam mencari estetika, sebenarnya kita sedang meneroka suatu ilmu atau pengalaman yang ada disebalik kewujudan sesuatu. Sebagai contoh, apabila kita melihat lukisan sebuah tasik dengan air yang tenang, kita turut merasai ketenangan tersebut. Penghayatan pengkarya serta nilai estetika yang lahir dari lukisan tersebut telah membawa kita kepada suatu pengalaman indah yang mengkagumi alam ciptaan tuhan yang bersifat kekal abadi. 

Begitu juga dengan menyaksikan persembahan teater, muzik dan tarian. Segala pemikiran serta nilai estetika yang dilahirkan adalah gambaran kehidupan sebenar melalui penghayatan semulajadi tingkahlaku manusia samada baik atau buruk. Kesan dari penghayatan tersebut akan membentuk sebuah emosi dan penafsiran baharu tentang kehidupan yang bakal menjadi pilihan manusia. Segala mesej yang disampaikan samada melalui dialog, gerak dan lagu akan memberi kesan positif yang akan bertindak balas melalui peranan psikologi yang akan membentuk perasaan sayang, suka, marah, benci, sedar, nyaman, segar dan sebagainya. 

Oleh itu, mencari estetika dalam karya seni adalah merupakan satu proses penjernihan pemikiran yang secara tidak langsung berlaku semasa pencarian tersebut. 

Justeru itu, jernihkanlah pemikiran kita melalui kaedah pencarian  nilai estetika yang terdapat dalam sesebuah karya seni..:-)







Post a Comment

0 Comments