Salamm...
Saya dah agak lama tak menulis kerana busy menyiapkan tugas-tugas yang sepatutnya disiapkan kerana telah berjanji dengan diri sendiri untuk menyiapkan tugasan tersebut sebelum February 2014. Alhamdulillah tugasan tersebut tersiap juga akhirnya...:-)
Isu yang saya ingin ketengahkan pada kali ini adalah suatu isu yang banyak orang bercakap tapi tak ramai yang buat sebagaimana ia sepatutnya di buat...alasan demi alasan dikemukakan bagi menghalalkan kenapa perkara itu tidak dibuat dengan sepenuhnya...
Isu berhubung dengan definisi pengurusan artistik saya telah bincang dalam posting saya terdahulu...so, kali ini saya nak fokus kepada:
Kenapa pentingnya pengurusan artistik yang berkesan dalam menjayakan sesebuah persembahan?
PENGURUSAN ARTISTIIK adalah suatu gerak kerja dalam menentukan hala tuju sesebuah produksi khsusus dalam menentukan kualiti visual sesebuah persembahan...jangan terkeliru dengan kefahaman bahawa pengurusan artistik sebagai proses untuk menjayakan sesebuah persembahan kerana menjayakan sesebuah persembahan adalah sebuah proses PENGURUSAN PRODUKSI.
Maksudnya, pengurusan produksi adalah sebuah proses pengurusan perjalanan sesebuah produksi dari A-Z. Proses tersebut merangkumi urusan perancangan dan pelaksanaan seperti hal kewangan, lantikan tenaga produksi, mesyuarat produksi, kontrak, latihan, pemasaran dan publisiti, kebajikan dan lain-lain lagi. Sebaliknya, pengurusan artistik adalah melibatkan penentuan program yang berdasarkan kehendak semasa penonton dan seterusnya proses perancangan dan pelaksanaan kerja-kerja kreatif bagi menghasilkan sesebuah persembahan yang dapat menghiburkan khalayak melalui teknik atau kesan visual yang menarik. Ia merangkumi kerja-kerja rekaan produksi seperti rekaan set & prop, cahaya, audio, kostum, solekan, multimedia dan lain-lain lagi. Dengan erti kata lain, proses pengurusan artistik adalah sebahagian daripada proses pengurusan produksi.
Oleh yang demikian, kerja-kerja pengurusan artistik AMAT memerlukan kepada proses pelaksanaan yang sistematik dan berkesan kerana dengan proses kerja yang berkesan sahajalah yang dapat menentukan sesebuah persembahan itu dapat dihasilkan dengan berkualiti.
Walaupun, banyak juga orang berkata bahawa "kualiti dalam seni persembahan adalah perkara subjektif" lebih-lebih lagi apabila ia dikaitkan dengan selera manusia..Ya...memang betul tetapi kita boleh membuatkannya berkualti walaupun kualiti itu subjektif...kita tahu bahawa amat sukar untuk memuaskan hati semua orang...dalam apa-apa perniagaan atau urusan pun kita tidak dapat memenuhi kehendak semua orang...
Dalam seni persembahan, indikasi kepada kejayaan sesebuah persembahan adalah tahap penerimaan penonton terhadap sesuatu persembahan yang telah kita pentaskan..jika majoriti yang menerima apa yang kita persembahkan ia menunjukkan bahawa hasil kerja kita itu telah mempunyai kualiti kerana kepuasan penonton tidak dapat dijual beli. Penonton akan memberi respon terhadap sesuatu perkara berdasarkan naluri atau perasaan yang lahir dari suatu penumpuan yang telah dilakukan dengan sukarela bukannya dengan paksaan. Sememangnya akan berlaku ada orang yang suka dan ada orang yang tidak suka dalam apa-pa jenis persembahan pun. Sebagai contoh, ada orang tidak suka 'muzikal teater' kerana katanya muzikal teater mengganggu penghayatan penonton terhadap mesej sesebuah teater. Ini kerana muzikal teater lebih menumpukan kepada kesan visual, lagu, muzik dan tarian. Ada juga orang tidak suka kepada teater 'drama' kerana katanya drama banyak tertumpu kepada dialog, mesej, ekspresi yang disampaikan oleh para pelakon. Perkara ini berlaku dimana-mana sahaja termasuk di England, ada orang fanatik kepada 'Shakespeare' dan ada orang yang fanatik kepada 'Musical'.
Oleh itu, jangan salah faham dengan kata-kata bahawa seni itu subjektif. Sebab itu lah, pengurusan artistik yang berkesan memainkan peranan penting di sini khususnya dalam menentukan sesebuah produksi memenuhi cita rasa khalayak.
Bagi mencapai tahak kualiti yang maksimum dalam menghasilkan sesebuah persembahan, ia hendaklah bermula denga proses rekaan produksi yang sistematik dan berkesan.
Bagi mencapai tahak kualiti yang maksimum dalam menghasilkan sesebuah persembahan, ia hendaklah bermula denga proses rekaan produksi yang sistematik dan berkesan.
Menurut Gillette (2000, 1997), rekaan produksi hendaklah melalui pelbagai proses penting dalam menentukan ianya tampil berkualiti. Ia merangkumi 7 strategi yang perlu dilalui oleh semua tenaga pereka produksi. Strategi tersebut adalah seperti strategi commitment, analysis, research, incubation, selection, implementation and evaluation.
1. Strategi commitment
Strategi komitmen adalah merupakan suatu aspek yang paling penting dalam melakukan proses gerak kerja rekaan produksi. Seluruh
tenaga perlu diletakkan bagi memastikan tugasan tersebut dapat dilakukan dalam
keadaan yang terbaik. Dalam menghadapi proses ini, ia juga boleh dianggap
seolah-olah seseorang itu berada dalam sesuatu masalah yang perlu diselesaikan. Walaupun, perkataan masalah mempunyai konotasi yang negatif,
namun ia boleh memberi semangat kepada seseorang itu menghadapi sesuatu masalah dan jika sesuatu masalah itu ditukarkan menjadi sebagai
sebuah cabaran yang perlu ditangani
dengan komitmen yang jitu. Kebanyakan orang sukakan cabaran dan perkataan cabaran
itu juga boleh mendatangkan keseronokan jika dikaitkan dengan aktiviti lain
seperti cabaran dalam permainan atau sesuatu pertandingan. Apabila situasi sesuatu
masalah itu bertukar menjadi sesuatu cabaran, situasi tersebut menjadi lebih
memberangsangkan dan ia akan dapat diuruskan dengan lebih baik.
2. Strategi analysis
Strategi analisis
dalam rekaan produksi mempunyai dua tujuan: 1) mengumpul segala maklumat yang
dapat membantu seseorang itu mengenal pasti cabaran yang bakal dilalui, dan 2)
mengenal pasti perkara yang perlu dilakukan kajian yang lebih mendalam. Gerak
kerja analisis dalam sesebuah produksi adalah bertujuan memperoleh informasi
dan melakukan penilaian secara khusus terhadap maklumat yang diterima. Sumber
utama maklumat adalah skrip dan kalangan tenaga produksi yang terlibat seperti
produser, pengarah dan para pereka. Sewaktu proses perbincangan antara tenaga pereka
produksi, isu-isu penting perlu dibincangkan seperti konsep produksi, bajet,
jadual produksi dan perkara yang berkaitan dengan rekaan produksi.
Sebagai contoh:
1) Siapa yang menerbitkan produksi
tersebut?
2) Berapakah bajet produksi?
3) Di mana produksi tersebut akan
dilaksanakan?
4) Bilakah tarikh akhir rekaan
produksi?
5) Kenapa produksi tersebut
dipersembahkan?
6) Bagaimana set dan prop dibawa dari
tempat pembuatan
ke pentas?
3. Strategi research
Setelah proses mengumpul maklumat selesai, ada di antara
maklumat tersebut yang dirasakan kabur atau di luar pengalaman seseorang pereka,
yang akhirnya menyebabkan proses kajian mendalam perlu dilakukan. Bagi tujuan
itu, proses kajian latar belakang dan
kajian konseptual perlu dilaksanakan.
Kajian latar belakang
Kajian latar belakang ialah sebuah proses kajian bagi
mengenal pasti sejarah latar belakang (historical
background) sesebuah produksi yang ingin direka. Kajian tersebut boleh
dilakukan melalui buku, katalog, lukisan, bahan sejarah dan segala maklumat
yang berkaitan dengan era tersebut. Pereka juga boleh melakukan kajian
berdasarkan produksi-produksi yang lepas melalui foto, lakaran serta
model. Ini tidak bermakna, beliau harus
meniru sepenuhnya rekaan yang terdapat dalam produksi tersebut. Ia sekadar
memberi gambaran bagaimana produksi yang sedemikian pernah dilakukan atau pernah
digambarkan. Pada masa yang sama pereka juga tidak boleh mereka bentuk sesuatu rekaan
di luar dari sifat-sifat asal sesuatu perkara, lebih-lebih lagi jika ia tersasar
dari inti pati yang terkandung dalam skrip tersebut.
Dalam aspek lain, kajian berhubung
dengan corak dan warna juga mempunyai kepentingan yang tersendiri kepada
pereka. Tahap kefahaman tentang penggunaan warna yang mendalam memberi peluang
kepada pereka mengolah serta mengadun sesuatu warna dalam rekaan masing-masing.
Sebagai contoh, kefahaman tentang psikologi warna (psychology of colour) membolehkan pereka menghasilkan idea rekaan
yang tepat, sekali gus memberi penghayatan yang mendalam kepada penonton
khususnya berkaitan dengan watak dan perwatakan serta hubungannya dengan alam persembahan.
Kajian konseptual
Kajian konseptual merupakan proses penyelesaian pelbagai
isu atau rintangan dalam sesuatu rekaan. Sebagai contoh, pereka mungkin
berhadapan dengan situasi di mana seorang pelakon wanita utama (heroin) yang
memakai kostum yang cantik dalam sebuah persembahan drama dan pelakon tersebut
meninggalkan pentas di akhir babak satu dan dalam jangka waktu yang singkat
beliau muncul kembali dengan kostum yang sama di babak dua tetapi kostum
tersebut kelihatan tidak terurus atau koyak di sana-sini. Dalam hal ini, kajian
konseptual amat diperlukan bagi mengenal pasti pelbagai jalan penyelesaian
terhadap situasi tersebut. Kebanyakan isu yang timbul dalam melakukan kajian
konseptual ialah ketidakupayaan pereka untuk berfikir bagi mencari jalan
penyelesaian terhadap sesuatu cabaran yang dihadapi. Dalam ilmu psikologi hal
sedemikian dipanggil sebagai perceptual
block. Jika isu perceptual block
dapat diatasi, daya pemikiran seseorang itu akan bertambah baik dan kreatif
dalam menangani sesuatu isu yang dihadapi.
4. Strategi incubation
Strategi inkubasi memberi ruang kepada sesuatu idea
untuk bercambah dan seterusnya proses mematangkan sesuatu idea. Di peringkat
ini, pereka akan leka dengan proses imaginasi sesuatu visual rekaan berdasarkan
maklumat yang diperoleh melalui kajian yang telah dijalankan. Malah, di
peringkat ini juga, tahap imaginasi pereka di tahap yang tertinggi dalam
menggambarkan sesuatu visual yang bakal dihasilkan dalam sesuatu persembahan.
Setiap pereka akan melalui proses imaginasi visual berdasarkan peranan
masing-masing seperti pergerakan keluar-masuk set dan prop, pertukaran kostum,
kesesuaian solekan, kesesuaian cahaya, kesesuaian muzik latar atau kesan bunyi
khas, keberkesanan imej multimedia dan lain-lain lagi. Proses ini juga membantu
pereka memastikan bahawa segala idea yang bakal dihasilkan menepati kehendak
konsep persembahan yang telah dipersetujui. Oleh itu, proses ini memerlukan
jangka waktu yang bersesuaian bagi memastikan ia berlaku dengan sebaik mungkin.
Kekangan masa bagi menjayakan proses ini akan menyebabkan hasil sesuatu rekaan
itu menjadi lemah dan tidak berkualiti.
5. Strategi selection
Strategi seleksi adalah merupakan proses penentuan
segala data atau maklumat yang diperoleh dan seterusnya diangkat menjadi sebuah
konsep rekaan bagi sesuatu produksi. Oleh sebab, penentuan sesuatu idea rekaan
oleh seseorang pereka itu berkait rapat dengan tenaga pereka yang lain, setiap
idea rekaan itu hendaklah dibentangkan dalam mesyuarat produksi bagi memberi
ruang kepada pereka lain melakukan penyesuaian terhadap konsep rekaan
masing-masing. Pada peringkat ini, pereka set akan menyediakan lakaran asas
visual rekaan set bagi menggambarkan bentuk set yang dicadangkan. Sesetengah
pereka set juga menggunakan model box
sebagai kaedah untuk menggambarkan konsep, corak dan warna yang dicadangkan. Pereka kostum pula perlu menyediakan lakaran
kostum, cadangan warna serta cadangan jenis kain. Manakala pereka cahaya akan
membentangkan idea rekaan cahaya melalui gambaran suasana yang bakal dihasilkan
berdasarkan setiap babak dalam skrip tersebut. Bagi pereka audio pula, beliau
perlu menyediakan cadangan muzik atau sound
effects yang bersesuaian bagi persembahan tersebut. Pada masa yang sama,
beliau juga perlu membentangkan tentang kedudukan speaker dan fungsi setiap speaker
yang dicadangkan. Proses seleksi ini akan berakhir apabila Pengarah Persembahan
bersetuju atau berpuas hati bahawa segala idea rekaan yang dibentangkan
menepati dengan konsep persembahan yang telah dipersetujui.
6. Strategi implementation
Strategi implementasi akan bermula apabila segala proses
perancangan rekaan berakhir dan peringkat seterusnya adalah peringkat
pelaksanaan. Pada peringkat ini, semua pereka akan menyediakan segala persiapan
berbentuk lakaran, pelan, model dan arahan yang diperlukan bagi proses penyediaan
bahan-bahan persembahan khususnya persediaan pembuatan set dan prop, peralatan
lampu, peralatan audio, pembuatan kostum dan lain-lain yang berkaitan. Proses
implementasi juga melibatkan proses pelaksanaan dan pemantauan kerja-kerja
persiapan di pentas dan seterusnya mengurus serta mengendali persembahan hingga
selesai. Pengarah Persembahan akan memainkan peranan yang penting bagi
memastikan persembahan yang dipersembahkan menepati konsep yang telah dipilih
sekali gus mengawal kualiti persembahan.
7. Strategi evaluation
Strategi evaluasi boleh berlaku bermula di peringkat awal
proses gerak kerja rekaan produksi atau di akhir sesebuah produksi. Proses
evaluasi yang dilakukan ketika proses rekaan produksi adalah bagi memastikan
segala idea dan proses merealisasikan sesuatu idea tersebut dilakukan dalam
kawalan serta perancangan yang telah ditetapkan. Manakala evaluasi yang
dilakukan setelah selesai produksi adalah bagi melihat kembali ruang atau peluang
yang boleh diperbaiki khususnya bagi perancangan produksi seterusnya. Semua
tenaga produksi khususnya para pereka yang terlibat, perlu melihat serta
menilai secara objektif hasil idea rekaan masing-masing bagi mengenal pasti
kekurangan yang terdapat dalam persembahan tersebut dan seterusnya proses
penambahbaikan dapat dilakukan dalam gerak kerja produksi selanjutnya.
Semua strategi di atas telah terbukti memberi kejayaan kepada
banyak pihak dalam menguruskan kerja-kerja pengurusan artistik secara berkesan dan ia juga telah dijadikan sebagai working practice bagi semua produksi termasuk produksi skala kecil mahupun skala besar.
membantu membangunkan lagi industri kreatif negara ini menjadi
suatu perniagaan yang dapat menjana ekonomi individu atau
negara. Saya syorkan kita amalkanlah sistem yang telah
diamalkan oleh banyak pihak dan telah terbukti berjaya itu agar
kita juga akan berjaya sebagaimana mereka kecapi...Insya'Allah.
0 Comments