JADILAH SEORANG PENGARAH PERSEMBAHAN YANG BIJAK DAN LAGI BIJAKSANA!!! - Back Stage Call

JADILAH SEORANG PENGARAH PERSEMBAHAN YANG BIJAK DAN LAGI BIJAKSANA!!!

Salamm...


Tajuk perbincangan saya pada kali ini agak provokatif sedikit...:-) tetapi jangan risau...Insya'Allah ia tidak berniat untuk menyinggung mana-mana pihak yang bergelar pengarah persembahan...kerana ramai kawan-kawan saya juga terdiri dari pengarah persembahan...So, apa yang saya ingin kongsikan adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri berhadapan dengan situasi sedemikian serta ilmu yang saya terima dari pelbagai sumber samada dari pengalaman bekerja dengan pengarah persembahan dalam dan luar negara dan seterusnya melalui pembacaan..




Siapa Pengarah Persembahan?

"As a director you will initiate, develop and co-ordinate all the work involved in a production. You will assess the play's demands on all members of the group and combine their contributions to make them into a satisfying whole" (McCaffery 2000, 1998, 1995, 1993). 

Jika berpandukan kata-kata di atas, pengarah persembahan sudah semestinya orang yang terpenting sekali dalam sesebuah produksi pentas. Beliau merupakan tonggak penting yang bakal menentukan hala tuju sesebuah produksi. Tugasannya amat berat dan memerlukan seseorang yang mempunyai tahap kemahiran serta ilmu yang tinggi samada dari aspek pengarahan dan juga kepimpinan. 

Pengarah Persembahan yang BIJAK yang saya maksudkan di sini adalah bagaimana seseorang pengarah itu menggunakan ilmu kepakarannya dalam memastikan sesuatu persembahan itu tampil berkualiti. Pengarah Persembahan tidak hanya menumpukan kepada hal yang berkaitan dengan ekspresi lakonan, gerak tarian atau kemerduan nyanyian semata-mata. Beliau seharusnya turut menguasai ilmu Sinografi dan Pengurusan Pentas. Tahap penguasaan ilmu tersebut bukan hanya setakat mengetahui dan memahami sahaja, malah perlu menguasai secara praktikal terhadap perkara-perkara tersebut. Hal ini penting kerana tugas dan tanggungjawab pengarah persembahan adalah pembuat keputusan dalam semua aspek produksi. Sebagai contoh, peranan "colour and texture" dalam sesebuah persembahan, peranan kesan bunyi dalam persembahan, peranan pencahayaan, peranan multimedia, kostum dan solekan, kesan-kesan khas (special effects), bagaimana kombinasi "mood and atmosphere" mempengaruhi persembahan dan lain-lain lagi. Penguasaan ilmu sedemikian akan memberi peluang kepada pengarah persembahan berkomunikasi dengan sebaik mungkin dengan tenaga artistik yang bertugas dalam produksi yang diterajuinya. Sebagai pengarah persembahan, beliau tidak seharusnya meletakkan 100% kepada tenaga produksi untuk memikirkan hal-hal tersebut kerana ingin menumpukan kepada tugasan bersama artis. Amalan sedemikian agak janggal dan tidak menunjukkan kewibawaan seorang pengarah persembahan. 

Dari aspek lain pula, seorang pengarah persembahan seharusnya memahami proses pelaksanaan sesuatu tugasan kreatif tenaga kerja yang terlibat dalam sesebuah produksi. Sebagai contoh, bagaimana proses sesuatu rekaan produksi dijalankan? Bagaimana proses pembuatan peralatan persembahan dilaksanakan? Adakah masa yang mengcukupi bagi tenaga kreatif melakukan sesuatu tugasan? Apakah halangan-halangan yang bakal dihadapi? Adakah bajet yang diperuntukan bersesuaian? Adakah tenaga produksi yang terlibat mempunyai tahap kemahiran yang tinggi? dan lain-lain lagi.

Hasil dari penguasaan ilmu-ilmu sedemikian akan memberi kelebihan kepada pengarah persembahan untuk membuat sesuatu keputusan dengan BIJAK. 

Yang dimaksudkan dengan pengarah persembahan yang BIJAKSANA pula ialah apabila seseorang pengarah persembahan itu mengamalkan suatu gaya kepimpinan yang dapat diterima oleh tenaga produksi dibawah pimpinannya. 

Menurut McCaffery lagi:

The director is central to the whole project, and has responsibility and power. Use your power selfishly and you will lose the respect you need in tough situations. Maintain a visible  presence. Spend time with your colleagues and take an interest in their work. They will appreciate your importance to it...your production will succeed only through other's contributions, so you should value rather than take them for granted. If you lead well, you leadership will be accepted. 

Dengan erti kata lain, seorang pengarah persembahan perlu memiliki kebijaksanaan yang tinggi dalam menerajui sesebuah produksi. Walaupun, dalam keadaan tertentu pengarah persembahan harus bersikap tegas, namun ia hendaklah ditangani dengan penuh berhemah. Pengarah persembahan boleh bertindak sebagai facilitator dalam berurusan dengan tenaga produksinya. Melalui konsep facilitator akan membuka ruang kepada pengarah persembahan untuk berbincang dengan tenaga produksi yang diterajuinya denga keadaan yang harmoni dan kondusif. Sebagai contoh, setiap idea yang dihasilkan oleh tenaga kreatif yang terlibat perlu dihalusi dengan sebaik mungkin bagi tujuan penyesuaian dengan konsep persembahan yang telah dipersetujui. Jika berlaku sebarang percanggahan atau kelemahan terhadap idea tersebut, ia hendaklah dibincang dan diberi peluang untuk penambahbaikan. Elakkan daripada menolak dengan cara yang kasar dengan menggunakan kuasa yang ada sebagai seorang pengarah persembahan. 


Pengarah persembahan juga perlu memahami bahawa kerja-kerja menghasilkan sesuatu idea kreatif memerlukan suasana kerja yang tenang dan emosi yang tidak tertekan. Dalam apa jua pekerjaan sekali pun tekanan emosi akan mempengaruhi hasil kerja seseorang, lebih-lebih dalam kerja-kerja kreatif yang memerlukan sesorang tenaga kreatif membayangkan sesuatu perkara yang berbentuk ilusi bertukar menjadi realiti di pentas. 

Oleh itu, sebagaimana tajuk tulisan ini "Jadilah Seorang Pengarah Persembahan Yang Bijak Dan Lagi Bijaksana" adalah merupakan suatu saranan yang ikhlas dari saya demi memastikan kejayaan sesebuah persembahan ditahap yang maksimum serta mengangkat kerjaya belakang tabir menjadi sebahagian daripada kerjaya yang menyeronokkan... 





Post a Comment

0 Comments