Rajin pulak nak menulis...beberapa hari lepas dah menulis...sambung pulak hari ini..tengah rajin katakan...:-) Sebenarnya nak bagi semangat kat kepala dan tangan ni meneruskan penulisan buku yang tertangguh..hehe..
Maafkan saya perbincangan ini agak panjang...tajuk perbincangan kali ini agak akademik kerana ia melibatkan suatu teori yang rumit dan mengelirukan. Saya akan cuba sebaik mungkin membuat perbandingannya. Tulisan ini juga merujuk kepada beberapa buku yang telah saya baca dan saya amat memahaminya secara teori dan praktikal.
Tajuk yang saya pilih kali ini adalah "Perbezaan Creative Thinking dan Critical Thinking...Bagaimanakah anda?". Saya memilih tajuk ini kerana ingin berkongsi pemahaman dan amalan yang saya gunakan dalam kerjaya saya sebagai pensyarah dalam bidang ini dan sebagai individu yang terlibat secara langsung dalam industri seni kreatif khususnya seni persembahan. Dalam pada itu, topik-topik yang sebutkan di atas selalu ajer orang sebut...tapi apakah maksudnya dan bagaimana untuk menggunakannya. Itu yang saya nak berkongsi tu..
Ramai orang setuju...kehidupan hari ini memerlukan kita mempunyai pemikiran yang kreatif ...kalau tidak, katanya susah nak cari makan! Tapi...
Apakah yang dimaksudkan Creative Thinking tu..?
Menurut Ainon Mohd & Abdullah Hassan (2005) "...pemikiran kreatif ditandai oleh keupayaan melihat sesuatu daripada pelbagai sudut". Semua teknik berfikir yang dicipta oleh para pakar adalah untuk menolong kita mengatasi pelbagai rintangan dengan daya kreativiti. Dengan teknik-teknik pemikiran kreatif juga dapat menfokuskan pemikiran kita dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
Sebagai contoh:
- Kita dapat memecahkan masalah dengan lebih teratur.
- Fikiran menjadi lebih jernih sepanjang masa kita sedang berfikir.
- Ia dapat menenangkan fikiran bawah sedar kita.
- Dapat menghasilkan idea-idea baharu.
- Menolong kita mengelakkan kegagalan.
- Menolong kita bersikap positif pada kegagalan yang kita alami.
- Dapat menajamkan lagi bakat semulajadi kita sebagai seorang yang kreatif.
Apabila berfikir dengan menggunakan stail kreatif, matlamat berfikir ialah untuk menghasilkan:
- Pelbagai persepsi
- Pelbagai konsep
- Pelbagai idea
- Pelbagai cara menyelesaikan masalah
- Pelbagai cara meleraikan konflik
- Pelbagai reka cipta
- Pelbagai strategi dan taktik
- Pelbagai prosedur kerja
- Pelbagai teori
- Pelbagai hipotesis
- Pelbagai peraturan
- Pelbagai hasil perundingan
Manakala perkara yang ditimbulkan apabila berfikir secara kreatif adalah:
- Kita perlukan idea baharu
- Ada atau tidak cara-cara lain?
- Cuba cari kaedah-kaedah yang lebih mudah
- Ada atau tidak cara lain untuk menerangkan perkara ini?
- Tolong fikirkan kemungkinan-kemungkinan lain
- Kita tak mahu lagi penyelesaian cara sekarang
- Cara ini belum dicuba
- Ini idea lama. Tentu ada cara lain.
Pedekata, pemikiran kreatif adalah pemikiran yang bersifat positif, membina dan bukan menghapuskan idea. Ia juga adalah keupayaan seseorang untuk melihat sesuatu dengan cara yang berbeza daripada orang lain. Atau keupayaan seseorang untuk melihat sesuatu melalui pelbagai persepsi, melakukan satu-satu kerja dengan pelbagai cara, melakukan kerja dengan cara baharu, memberi makna baharu kepada sesuatu kerja atau memberi nilai tambah baharu kepada sesuatu perkara (Maimunah Osman, 2005)
Dalam melaksanakan tugasan seharian, tidak kira siapa kita seharusnya mempunyai pemikiran kreatif sebegini. Itulah yang dimaksudkan sesetengah orang bahawa hidup kita ni kena kreatif, kalau tidak susah untuk cari makan...Apatah lagi jika anda menjadi orang seni kerana pemikiran kreatif anda hendaklah lebih hebat lagi kerana anda sebenarnya ingin menakluki pemikiran kreatif orang lain.
Tapi AWAS kerana pemikiran kreatif kebiasaannya berlawanan dengan Pemikiran Kritikal (Critrical Thinking). Pendapat Critical Thinking pula selalu bertentangan dengan pemikiran kreatif kalau tidak ditanggani dengan bijaksana kerana proses pemikirannya berbeza di antara keduanya.
Jadi, apakah yang dimaksudkan dengan Critical Thinking?
Critical Thinking atau pemikiran kritikal ini berasal daripada bahasa Yunani 'kritikos' yang bermaksud 'mampu menilai'. Pada masa ini perkataan kritik mempunyai konotasi negatif. Kegiataan mengkritik sentiasa bermakna membuat kritikan negatif, iaitu mencari kesalahan, kesilapan dan kelemahan. Ketiga-tiga aktiviti itu adalah aktiviti serangan, cemuhan dan kutukan (Ainon Mohd & Abdullah Hassan, 2005).
Pemikiran kritikal berfungsi seperti perbuatan membuang antah daripada beras. Pada asalnya pemikiran kritikal dicipta untuk membuang kesilapan, kekeliruan dan andaian-andaian yang salah. Dengan membuang semua antah dalam beras, yang tinggal adalah beras belaka. Oleh itu, pemikiran kritikal tidak dicipta untuk menghasilkan klon-klon beras yang lebih baik, mahupun untuk menokok tambah agar beras itu bertambah banyak.
Mencari kesilapan memang berguna. Ia dapat menghindarkan kesilapan itu daripada diulang dan kesilapan itu dapat dibetulkan. Begitu juga dengan kelemahan. Ia dapat digunakan untuk memperbaiki kelemahan itu, supaya idea menjadi lebih sempurna.
Pemikiran yang hanya mampu mencari kesilapan dan kelemahan tidak cukup untuk membolehkan kita mencapai keberkesanan intelektual. Pemikiran ini adalah berdasarkan kepada andaian yang berbahaya, iaitu segala keperluan hidup boleh dipenuhi sekiranya kita mahir mencari kesilapan. Andaian ini percaya kalau kita dapat menghindari semua kesalahan, maka kita dapat mencipta kebaikan. Ini seperti percaya sekiranya kita dapat mencari kelemahan-kelemahan kereta lembu, kita dapat mencipta kereta bermotor? Dengan membuang semua kelemahan kereta lembu, dan akhirnya menggantikannya kereta lembu dengan kereta bermotor, ia tidak menyelesaikan permasalahan kereta lembu, kerana kereta bermotor bukan kereta lembu.
Pertembungan antara pemikiran kreatif dan pemikiran kritikal akan memberi banyak kesan negatif kerana ia membunuh pertumbuhan idea-idea baharu dengan mematahkan semangat orang yang cuba menghasilkan idea-idea baharu. Pemikiran kreatif mengeluarkan idea-idea baharu yang terkeluar daripada paradigma sedia ada dan mencipta paradigma baharu, tetapi pemikiran kritikal menilai idea-idea baharu itu dalam konteks paradigma lama. Sudah pasti idea-idea baharu itu akan menerima penilaian negatif oleh pemikiran kritikal.
Berdasarkan penerangan diatas, hal ini terbukti berlaku dalam kehidupan seharian kita..kan? Percanggahan pendapat itu kadang-kadang menyebabkan kita naik rimas dan akhirnya hilang semangat atau berputus asa dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Kenapa hal ini timbul? Jawapannya... kerana kita tidak memahami apa fungsi kedua-dua pemikiran tersebut dan meletakkan kedua-duanya ditempat yang salah.
Kedua-dua teknik pemikiran tersebut amat berguna dalam kehidupan kita seharian. Kebijaksanaan kitalah yang dapat menentukan kaedah mana yang bersesuaian berdasarkan sesuatu masalah yang kita dihadapi.
Melalui pengalaman saya sebagai pemikir kreatif...kedua-dua ilmu tersebut amat berguna dalam merangka sesuatu idea baharu bagi sesuatu program atau acara baharu yang ingin dipersembahkan kepada khalayak. Proses pemikiran kritikal menjadi pedoman atau panduan bagi melaksanakan pemikiran kreatif. Akan tetapi, penyelesaiannya tetap menggunakan teknik pemikiran kreatif kerana isu dan permasalahan yang saya hadapi adalah isu kreatif.
Bagaimanakah Anda?
0 Comments