Tanpa Sinografi Seolah-olah Makan Nasi Tanpa Lauk! - Back Stage Call

Tanpa Sinografi Seolah-olah Makan Nasi Tanpa Lauk!

Assalamualaikum semua..

Dah lama tidak berkongsi rasa di Back Stage Call ni..hanya lalu jer tapi tak singgah..banyak yang ingin dikongsikan, tapi kali ini saya memilih isu diatas untuk diperkatakan.




Terlebih dahulu saya mohon maaf lah kerana perbincangan saya kali ini agak emosional sikit..:-) 

Saya kira ramai yang sudah maklum bahawa sesebuah persembahan pentas itu tidak lengkap jika tidak melibatkan elemen-elemen kreatif lain, sebagai contoh penggunaan set dan prop, lampu, audio, kostum, solekan, multimedia dan lain-lain selain dari pelakon, penyanyi, pemuzik atau penari di pentas. Tapi, saya memilih tajuk ini kerana masih ada lagi memandang hal ini sebagai second criteria dalam sesebuah persembahan. 

Ada yang masih ketegaq mengatakan "Aku boleh juga berlakon tanpa sokongan teknikal ni!.. teknikal tak penting..yang penting pelakon dan skrip yang baik..!!. Memang betul la tuu...jika dilihat secara ringkas sebuah teater memang hanya cukup sekadar ada pelakon, ada ruang dan ada penonton..saya senyum ajer lah bila berdepan dengan hujah sebegini..tapi dalam fikiran saya...???

Memang sukar mentafsir sebuah pemikiran atau prinsip sedemikian rupa..pada saya teater itu tergolong dalam katogeri seni persembahan pentas atau performing arts. Maksudnya, seni persembahan pentas itu merangkumi segalanya yang dipersembahkan di atas pentas. Jadi, apabila kita menyebut seni persembahan pentas, apa sahaja keperluan yang dapat menaikkan kualiti sesebuah persembahan seni itu adalah sama penting tanpa membataskan hanya perkara tertentu sahaja yang penting. 

Saya percaya ramai juga di luar sana yang memahami hal ini, tetapi masih ada lagi yang berpegang kepada fahaman sedemikian walaupun kita di tahun 2015 ni. Pihak kerajaan telah mewartakan Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN 2009) dengan harapan industri kreatif dapat menjana pendapatan ekonomi negara sebagaimana yang berlaku di negara-negara maju. Malangnya, sebahagian daripada kita masih lagi mencari arah dan tidak berpijak di bumi yang nyata...(:-

Ok lah..cukup la tu melepaskan emosi...kita berbalik kepada tajuk saya iaitu "Tanpa Sinografi Seolah-olah Makan Nasi Tanpa  Lauk"!


Apakah Sinografi? 




Perkataan Sinografi (Scenography) berasal dari Greek, “Skini” bermaksud Pentas dan “grapho” bermaksud merekabentuk/menjadikan, yakni merekabentuk/menjadikan sesuatu di pentas (Pamela Howard, 2002). Sinografi juga boleh diterjemahkan kepada pelbagai penafsiran kerja kreatif hasil dari ciptaan atau visual yang dilahirkan seseorang bergelar pereka (designer). Produksi teater moden telah lama menggunakan teknik-teknik sinografi dalam persembahannya. Secara khususnya teknik-teknik didalam sinografi adalah menitikberatkan kepada kesan visual bagi memberi kesan yang maksima terhadap sesebuah persembahan yakni dengan menggunakan kreativiti rekaan set, props, cahaya, audio, multimedia dan kesan-kesan khas yang lain. Dengan bantuan sinografi penonton dapat memahami serta menghayati sebuah cerita yang cuba disampaikan dengan lebih berkesan. Peranan sinografi adalah seiring dengan peranan pelakon yang beraksi di hadapan pentas.
 


Kepentingan Sinografi... 




Kepentingan kerja-kerja sinografi dalam seni persembahan pentas saya gambarkan seolah-olah kita makan nasi tanpa lauk..kerana kalau kita makan nasi sudah semestinya kena ada lauk...walaupun makan nasi bajet sekali pun. Jadi, jika kita menjayakan sesuatu persembahan pentas tanpa dengan kehadiran elemen-elemen sinografi macam makan nasi tanpa lauk la..mana nak sedapnya. 



Justeru, dalam hal sebegini sepatutnya tidak timbul isu siapa yang penting dan tidak penting dalam sesebuah produksi. Sebaliknya, kedua-dua hal itu saling melengkapi dan hendaklah dilihat sama rata dan sama-sama penting. Cuba kita bayangkan sebuah lakonan, nyanyian dan tarian tanpa set dan prop, backdrop, lampu, audio, kostum, solekan, multimedia dan lain-lain lagi. Apa akan jadi dengan persembahan tersebut? Samalah kalau kita makan nasi kosong..:-)

Dalam soal ini, saya bukan sekadar untuk memahami pembaca tentang peranan sinografi dalam seni persembahan, malah mahu pihak-pihak tertentu mengambil berat dalam soal peranan kerja-kerja sinografi dalam seni persembahan pentas ini. Sebagai makluman, kerja-kerja sinografi ni memerlukan sebuah perancangan yang rapi dan memerlukan masa dan kepakaran tertentu untuk mendapatkan hasil persembahan yang bermutu. Jadi, apabila menjayakan sesuatu persembahan pentas, isu ini janganlah dikesampingkan atau buat-buat tidak faham dengan peranan sinografi ini. Seharusnya, isu ini dijadikan isu penting dalam setiap perancangan apabila menjayakan sesebuah persembahan pentas. 



Sebagai contoh, sebuah produksi teater The Lion King mengambil masa sehingga 2 tahun untuk menghasilkan visual yang menarik di pentas. Jangan salah faham pulak..bukannya saya nak kita ikut The Lion King tu..tetapi ingin menunjukkan bahawa bagaimana mereka menjayakan sesebuah produksi yang cemerlang dengan mengambil kira proses sinografi yang terbaik. 

Satu lagi contoh Teater Muzikal Les Miserables, dari segi peruntukan kewangan produksi, mereka membelanjakan hampir 3/4 peruntukan kewangan mereka untuk kerja-kerja sinografi. Manakala 1/4 sahaja digunakan untuk bayaran tenaga produksi. Hal ini berlaku kerana mereka mengutamakan visual yang ingin disampaikan kepada penonton mereka. Kepuasan penonton terletak kepada hasil visual yang ditampilkan di pentas.

Persoalan yang saya bangkitkan ini bukan rekaan saya semata-mata, malah saya sendiri telah melalui pengalaman berpuluhan tahun, dimana isu ini sering dipinggirkan dan dianggapkan tidak penting oleh banyak pihak. Malah sesetengah pihak hanya mengharapkan berlaku keajaiban dengan sendiri di pentas tanpa memgetahui bagaimana kerja-kerja sebegini dilaksanakan oleh mereka yang bertungkus lumus di belakang tabir.


Agak sedih dan malang kerana terpaksa berkongsi rasa isu-isu sebegini walaupun kita tinggal lagi 5 tahun ingin menjadi negara maju...mudah-mudahan dalam 5 tahun lagi kita dapat mengatasi isu ini dengan jayanya.


Adalah menjadi harapan saya semoga perkongsian saya ini memberikan sedikit panduan dan pedoman kepada semua pihak agar isu-isu sebegini dapat kita atasi bersama.


Kalau kita berpegang kepada konsep Teamwork.."Kerja kreatif adalah perkongsian idea kreatif oleh semua pihak bagi menjayakan satu matlamat...jadi mana mungkin ada pihak yang tidak penting".




Post a Comment

0 Comments