Saya doakan semoga sahabat alam maya semua sihat walafiat hendaknya. Beberapa hari lepas saya di undang menjadi salah seorang dari panel luar peperiksaan akhir pelajar sebuah universiti di KL.
Pelajar yang dinilai itu telah dinilai secara khususnya berkaitan dengan bidang Pengurusan Produksi sebagai bidang major pengajiannya. Isu yang saya ingin bincangkan pada kali ini adalah berkaitan apa yang saya kongsikan semasa sesi VIVA pelajar tersebut iaitu "Antara Tauke dan Tukang".
Semua orang tahukan apa Tauke kan? Mengikut Kamus Dewan Tauke adalah merujuk kepada "tuan punya sebuah kedai atau tuan punya sebuah perniagaan atau saudagar". Dengan erti kata lain Tauke juga merupakan individu yang mengawal dari segala segi terhadap organisasinya. Manakala "Tukang" ialah perkerja atau individu yang melakukan atau membuat sesuatu tugasan atau perkerjaan.
Istilah Tauke dan Tukang ini juga dalam bahasa pasarnya selalu dikaitkan antara "Boss dan Kuli". Walauapapun istilahnya, saya melihat isu ini adalah suatu perkara yang menarik untuk kita bincangkan khususnya dalam konteks seni persembahan pentas. Hal ini juga sering saya perkatakan kepada pelajar-pelajar yang sempat menjadi "anak murid" saya khususnya dalam mukadimah kelas atau sesi pertemuan saya dengan para pelajar Fakulti Pengurusan Seni dan Budaya, ASWARA di awal semester.
Saya selalu menyebut ungkapan "Jadilah seorang Tauke yang baik serta memahami kerja seorang Tukang dan jadilah seorang Tukang baik serta memahami kerja seorang Tauke". Ungkapan ini sebenarnya amat memberi makna dan pengertiannya yang tersendiri kepada kedua-dua posisi penting iaitu antara Tauke dan Tukang itu.
Jadi, bagaimana saya kaitkan posisi Tauke dan Tukang tersebut dalam industri seni persembahan. Dalam seni persembahan yang saya kategorikan sebagai Tauke adalah seperti Penganjur, Penerbit, Pengarah Persembahan, Pengarah Artistik, Pengurus Acara, Pengurus Produksi, Pengurus Pentas dan lain-lain jawatan yang bergelar pengarah atau pengurus dalam sesuatu acara atau produksi. Mereka ini adalah merupakan pengawal kepada semua aspek dalam organisasinya.
Manakala Tukang pula saya kategorikan semua kakitangan pelaksana yang menyokong atau yang melaksanakan tugasan yang diarahkan oleh pengurus atau pengarah masing-masing. Antara jawatan dalam posisi tukang adalah seperti Pereka Set/Prop, Pereka Cahaya, Pereka Kostum, Pereka Audio, Pereka Solekan, Pereka Multimedia, kakitangan teknikal dan semua pembantu-pembantu produksi.
Gerak kerja bidang apa sekali pun tidak dapat lari daripada kepentingan keharmonian hubungan di antara Tauke dan Tukang bagi mencapai kejayaan yang maksimum dalam sesuatu perkerjaan atau organisasi. Apatah lagi, dalam industri kreatif yang memerlukan suasana kerja yang kondusif serta melibatkan suatu penghasilan kerja yang melibatkan pemikiran kreatif, kritis dan inovatif. Menjadi seorang Tauke dan Tukang dalam seni persembahan amat menuntut seseorang itu berada ditahap kefahaman dan kepakaran serta amalan kerja yang baik dan bijak demi mencapai objektif yang diharapkan.
Antara ciri-ciri Tauke yang dapat menghasilkan suasana kerja yang baik dan bijaksana dalam seni persembahan adalah seperti:
1) Mempunyai kemahiran ilmu teori dan praktikal dalam bidang
yang anda terajui atau anda uruskan.
2) Jadilah seorang pembimbing atau sekurang-kurangnya sahabat
kepada Tukang-Tukang anda bukan sebagai
seorang Tauke yang mimilih untuk dihormati sebagai Boss
semata-mata.
3) Bertindaklah sebagi Fasilitator dengan Tukang-Tukang anda
bukannya Diktator.
4) Kenalilah personaliti Tukang-Tukang anda kerana mereka juga
telah mengenali personaliti anda.
5) Tunjukkan bahawa anda amat memerlukan kerjsama Tukang-
Tukang anda demi mencapai objekif bersama.
6) Ketahuilah apa jua masalah yang dihadapi oleh Tukang-Tukang
anda kerana ia juga menjadi masalah anda.
7) Percayalah bahawa Tukang-Tukang anda juga mempunyai
persamaan emosi dan pemikiran macam anda.
8) Pemikiran kreatif Tukang-Tukang anda akan mati apabila emosi
mereka mati.
9) Anda harus percaya bahawa kerja kreatif "is about a
collaborative of all designers or a group of people's ideas to
become a single piece of work".
Antara ciri-ciri Tukang yang dapat menghasilkan suasana kerja yang baik dan bijaksana dalam seni persembahan adalah seperti:
1) Ketepikanlah masalah diri anda demi tugasan yang
dipertanggungjawabkan kepada anda.
2) Lakukan setiap tugasan anda dengan terbaik ditahap tertinggi
keupayaan anda.
3) Percayalah diri anda sebenarnya yang terbaik setelah anda
diberikan kepercayaan menjalankan tugasan anda.
4) Ikutlah nasihat Tauke anda kerana mereka sentiasa
inginkan yang terbaik dari anda.
5) Fahamilah apa yang Tauke anda maksudkan bukannya apa yang
anda faham.
6) Sentiasa bersedia menerima apa jua teguran dari Tauke anda
kerana Tauke anda lebih tahu dari apa yang anda tahu.
7) Letakkanlah 100% dedikasi anda terhadap tugasan anda.
8) Tunjukkanlah keikhlasan anda terhadap Tauke anda.
9) Percayalah bahawa Tauke anda tahu apa yang anda lakukan.
Ciri-ciri seorang Tauke dan Tukang yang baik sebagaimana yang saya catatkan diatas merupakan sebahagian daripada pengalaman saya yang pernah menjadi Tauke dan Tukang dalam industri seni persembahan pentas. Jadi, anda boleh bersetuju atau tidak bersetuju dengan catatan saya atau mungkin anda mahu tambah lagi ciri-ciri tersebut. Dipersilakan!!!
0 Comments