Assalamualaikum dan salam sejahtera semua..
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kalian semua yang telah sudi singgah di blog saya dan sesetengahnya telah menggunakan info blog ini sebagai rujukan tertentu samada sebagai pelajar, pentadbir seni, pengurus acara, pengurus pentas, pengurus produksi, ahli pertubuhan bukan kerajaan dan lain-lain. Terdapat juga READER dari negara-negara luar seperti Russia, UK, Germany, France, Cambodia, Indonesia, Brunei, USA dan lain-lain.
Hari ini rasa saya terpanggil pula untuk menulis apa yang terbenak di fikiran ini di kala semua orang masih tercari-cari, ternanti-nanti dengan penuh harapan agar isu Pandemik Covid 19 ini berlalu pergi dan sinar baru kehidupan kembali terpancar seperti sebelumnya.
Sebagai tenaga kerja belakang tabir industri seni persembahan, keadaan ini amat terpalit kuat dan sangat terasa kesannya apabila kerajaan Malaysia mengisytiharkan pada 18 Mac 2020 supaya semua orang menghadkan pergerakan dan duduk rumah atau bahasa rasminya adalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Hal ini tidak pernah terjadi sebelum ini, ada sesetengah pihak merasakan best juga duduk rumah (pada awalnya) berkemungkinan merasakan sudah terlalu lama berkerja sekali sekala berehat di rumah ada baiknya kot. PKP, PKPD dan PKPP telah menyebabkan industri yang berasaskan seni persembahan terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu. Walaupun PKPP diperkenalkan tetapi industri ini masih tidak dapat beroperasi sepenuhnya dan natijahnya jika pihak penerbit ingin menerbitkan sesebuah produksi, mereka terpaksa menanggung kerugian kerana kos produksi lebih mahal daripada jumlah pendapatan kerana jumlah penonton yang dihadkan bergantung kepada saiz ruang.
Namun, setelah hampir 6 bulan menunggu dan mengharapkan COVID 19 meninggalkan kita buat selama-lamanya tapi nampaknya COVID 19 seolah-olah tidak mudah untuk lenyap di bumi tercinta ini, walaupun ianya terkawal jika dibandingkan dengan negara-negara lain di sekitar kita yang masih tinggi kadar jangkitannya.
Sebagai tenaga akademik dan juga penggiat industri kreatif negara saya amat memamahi beban dan kerisauan yang di tanggung oleh rakan-rakan yang berada secara sepenuh masa dalam industri ini. Rata-rata kenalan saya yang berada secara sepenuh masa dalam industri berada di persimpangan dilema apakah tindakan yang harus dibuat dalam keadaan yang tidak menentu ini? Adakah lebih baik terus menunggu agar COVID 19 hilang dan kembali berkerja seperti biasa? atau Adakah lebih baik tinggal terus kerjaya ini dan mencari perkerjaan baharu sebagai alternatif?
Kehidupan harus diteruskan, pendapatan pula terhenti! kedudukan kewangan semakin meruncing!
Rakan-rakan sekelian apa jua keputusan yang kita pilih akan ada kebaikan dan kelemahannya. Saya berharap rakan-rakan semua dapat menilai sedalam-dalamnya ketika membuat keputusan yang berat ini. Saya amat sedar bahawa saya sebenarnya tidak layak untuk membincangkan hal ini kerana saya tidak berada 100% berada di tempat rakan-rakan sekelian kerana saya berada 50-50 antara makan gaji dan pendapatan dari industri, hal ini berbeza dengan rakan-rakan yang berada sepenuhnya dalam industri.
Percayalah, niat saya amat ikhlas dalam membincangkan isu sensitif ini!
Rakan-rakan sekelian, izinkan saya memberikan sedikit buah fikiran jika ianya dapat membantu mencetuskan sebarang idea untuk membolehkan rakan-rakan merancang sesuatu demi meneruskan kehidupan dalam bidang seni dan budaya yang pernah kita tumpukan sebelum ini.
Untuk itu, saya ingin mencadangkan rakan-rakan untuk memikirkan langkah-langkah menjana pendapatan berasaskan GIG EKONOMI. Sebelum itu, elok saya menerangkan apa itu definisi Gig Ekonomi supaya kita dapat tahu apakah asas kegiatan berasaskan kaedah ini. Perkataan "Gig" adalah berasal dari kegiatan kumpulan pemuzik di Amerika Syarikat yang berkerja secara upahan apabila menerima undangan membuat persembahan atau rakaman muzik di studio. Kegiatan sedemikian telah menjana pendapatan ekonomi yang konsisten dan akhirnya perkerjaan tersebut dianggap sebagai Gig Ekonomi. Perkerjaan tersebut juga tidak terikat dengan mana-mana syarikat atau majikan.
Ada juga yang berpendapat bahawa Gig Ekonomi adalah perkerjaan sampingan yang dilakukan secara sambilan dan pada masa yang sama individu tersebut telah mempunyai pendapatan yang lain. Perkerjaan tersebut sperti membawa Grab Car atau penghantar makanan Food Panda. Pada sisi lain lagi Gig Ekonomi adalah merujuk kepada perniagaan yang berasaskan perkongsian keuntungan dengan pemilik asal seperti AirBnB, OYO Hotel dan lain-lain.
Apapun definisi dan penafsirannya, dalam soal Gig Ekonomi ini slogan paling popular adalah " Be Your Own Boss or Be Our Own Boss". Secara peribadi saya sangat tertarik dengan slogan diatas dan amat berminat membincangkan strategi seterusnya.
Sebagai orang kreatif khususnya kemahiran seni yang rakan-rakan semua ada seperti kemahiran muzik, tari, teater, animasi, skrip, rekaan produk, pengurusan seni dan lain-lain lagi boleh dijadikan sebagai alat untuk mengusahakan perkerjaan berasaskan Gig Ekonomi ini. Saya ingin memberikan beberapa contoh yang kita boleh lakukan jika kita ingin menjana pendapatan melalui kaedah ini.
1) MENGINOVASIKAN KEMAHIRAN MELALUI DIGITAL PLATFORM
Contoh 1
Menginovasikan kemahiran seni kreatif yang kita ada menjadi suatu produk seni dalam bentuk yang lain menggunakan digital platform. Sebagai contoh, seorang pelakon teater menggunakan bakat lakonannya membuat video pendek untuk mengajar kanak-kanak untuk berbuat kebaikan menggunakan pelbagai karektor dengan pendekatan berhibur sambil mendidik. Produk tersebut dimuatnaik ke Youtube (sila rujuk teknik Youtube) dan dengan strategi pemasaran yang berkesan boleh mendatangkan hasil yang lumayan kepada pengusahanya.
Contoh 2
Seorang pemuzik menginovasikan kemahiran muzik beliau dengan menyediakan video teknik bermain alat muzik menggunakan teknik penyampaian yang bersahaja dan berkesan akan menarik orang ramai untuk menjadi pengikutnya dengan kadar bayaran yang berpatutan. Platform penyampaian boleh menggunakan saluran Youtube atau ZOOM atau Google Meet bagi tujuan pengawalan bayaran. Disyorkan target penonton adalah kanak-kanak dan remaja.
Dan banyak lagi yang boleh difikirkan...
2) KERJASAMA DENGAN PIHAK LUAR DARI INDUSTRI KREATIF
Contoh 1
Mengadakan kerjasama dengan pihak luar daripada industri kreatif seperti pihak Pusat Jagaan Orang Tua, Pusat Jagaan Anak Yatim, Pusat Jagaan Orang Kelainan Upaya (OKU) dengan menawarkan perkhidmatan mendekati golongan tersebut menggunakan elemen seni, budaya dan warisan. Saya bagi satu scenario tentang keperluan atau peluang ini sentiasa ada.
Banyak pihak selalu mendekati sebahagian golongan diatas adalah sewaktu Bulan Ramadhan dan Sambutan Hari Raya, di bulan-bulan lain agak berkurangan. Justeru, terdapat 11 bulan lagi yang agak kosong itu boleh dimanfaatkan oleh penggiat seni mendekati mereka dengan menyediakan pendekatan "SENI RANTAIAN KASIH" kepada golongan tersebut. Dari segi pendapatan, kita boleh memohon penajaan daripada pihak-pihak yang berminat untuk membuat kebajikan dibawah CSR (Corporate Social Responsibility). Strategi pelaksanaan boleh diperincikan lagi apabila proses pelaksanaan dilakukan.
Contoh 2
Menjalinkan kerjasama dengan pihak Hospital, TABIKA dan TADIKA bagi menyediakan khidmat "TERAPI SENI" samada Muzik, Tari atau Teater. Tumpuan khalayak adalah terdiri daripada kanak-kanak di tempat-tempat tersebut. Penggiat seni boleh berhubung dengan pihak-pihak yang berkaitan untuk menawarkan perkhidmatan tersebut dengan kadar bayaran tertentu, atau dengan penajaan oleh pihak-pihak yang berminat seperti di contoh 1.
Dan banyak lagi yang boleh difikirkan...
3) E-BOOK & E-LEARNING
Jika seseorang individu itu mempunyai kemahiran dan kerajinan menulis yang mendalam, beliau boleh menulis E-BOOK berasaskan pengalaman atau bakat yang beliau miliki. E-BOOK boleh ditulis dengan penyampaian yang bersahaja dan menggunakan gambar atau grafik.
Manakala E-LEARNING pula boleh dilakukan dengan perkongsian atas talian berkaitan kemahiran atau pengalaman individu tersebut secara bersiri atau episod dengan kadar bayaran yang berpatutan. Kadar bayaran boleh dikenakan sebelum kelas bermula atau setiap siri.
BE OUR OWN BOSS @ BE YOUR OWN BOSS
INTERNET USERS LOOKING FOR:
AUTHENTICITY, SINCERITY & CREATIVITY!
Sehingga Julai 2020 : Pengguna internet secara aktif berjumlah 4.57 Billion seluruh dunia.
0 Comments