Assalamualaikum dan salam sejahtera...
Ramai lagi yang kurang jelas tentang istilah Stage Manager dan Floor Manager...tapi ramai juga yang sudah tahu. Sekali imbas macam sama sahaja bidang kerjanya. Implikasinya berbeza apabila kita tahu dengan tepat istilah tersebut.
Yang paling ketara adalah jika kita mempunyai kefahaman yang betul dan mengamalkan dengan betul, kita nampak lebih professional dalam bidang tersebut. Tetapi jika kita memahaminya dengan salah dan kita berkemungkinan mengamalkannya dengan salah juga.
Stage Manager atau Pengurus Pentas adalah merujuk kepada jawatan atau peranan yang digunapakai dalam persembahan seni pentas seperti persembahan teater, tari, muzik, muzikal, festival, majlis perasmian, majlis penutupan, majlis pelancaran (indoor atau outdoor), majlis makan malam, annual function dan lain-lain program yang melibatkan seni persembahan pentas.
Jika berpandukan gaya pengurusan pentas Amerika Syarikat, struktur pengurusan pentas adalah terdiri daripada Stage Manager - SM (Pengurus Pentas) dan Assistant Stage Manager - ASM (Penolong Pengurus Pentas) serta diikuti oleh Crew (Pembantu Pentas). Bagi gaya pengurusan pentas di United Kingdom (UK) pula adalah Stage Manager - SM (Pengurus Pentas), Deputy Stage Manager -DSM (Timbalan Pengurus Pentas) dan Assistant Stage Manager - ASM (Penolong Pengurus Pentas) serta diikuti oleh Crew (Pembantu Pentas).
Bidang kuasa Stage Manager adalah sangat besar dan penting dalam memastikan perjalanan persembahan dan tidak perlu merujuk kepada sesiapa termasuk Pengarah Persembahan atau Pengarah Artistik ketika mengendalikan perjalanan persembahan.
Manakala Floor Manager pula merujuk kepada pengurus lantai/pentas bagi program televisyen yang menggunakan Multi Camera Production (MCP). Dari segi kuasa, Floor Manager adalah merupakan orang perantaraan diantara pihak Penerbit Rancangan dengan pihak produksi yang sedang berlangsung.
Walaubagaimanapun, Floor Manager mempunyai kuasa untuk menentukan semua pihak produksi seperti artis, teknikal dan penonton mematuhi arahan yang disampaikan oleh Floor Manager.
Di Malaysia, amalannya berbeza-beza tergantung kepada saiz atau skala sesuatu produksi atau kefahaman tentang pengurusan pentas dalam kalangan tenaga produksi yang terlibat.
0 Comments